Friday, January 19, 2018

Kenyataan akhbar Presiden PRM – Sdr Ariffin Salimon 20/1/2018


Parti Rakyat Malaysia (PRM) merupakan salah satu parti politik tertua di negara kita. PRM juga parti politik berbilang kaum yang masih kekal bergiat sejak ditubuhkan pada 11 November 1955. Pengasas ialah Ahmad Boestamam, pejuang kemerdekaan dan rakyat.

PRM berpengaruh dan mendapat sambutan rakyat kerana berjuang bukan untuk kepentingan diri sendiri, tetapi memperjuangkan kebajikan rakyat dan negara. Cita-cita inilah yang menjadi daya dorongan kuat kepada anggota berkorban demi rakyat.

Oleh sebab itu, sepanjang perjuangan PRM sejak ditubuhkan, PRM ditekan, dimomok dan ditahan di bawah Akta Dharurat 1948 dan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960).

Sejak peristiwa 2.13 iaitu bantahan raksasa PRM dan Parti Buruh terhadap melanjutkan tempoh tahanan 2 tahun Ahmad Boestamam di bawah ISA, pengaruh PRM makin kecil, keanggotaannya mengurang, tetapi semangat memperjuangkan kebajikan rakyat kental.

Setelah 60 tahun merdeka, negara kita memasuki era yang sesuai untuk PRM memperluas pengaruh. Rakyat makin insaf. Rakyat hendak perubahan.

Pagi ini, PRM mengadakan sidang media untuk mengumumkan dan mengalu-alukan kemasukan Sdri Jenice Lee Ying Ha menyertai dan bergiat bersama PRM.

Dengan kemasukan sdri Lee Ying Ha dan kemasukan anggota baru di negeri Kedah dan Pulau Pinang belakangan ini, pengaruh PRM berkembang dari utara ke tengah Semenanjung. PRM akan kembali berpengaruh di seluruh negara.

Kami percaya, selepas ini ada lagi rakyat Malaysia yang bercita-cita berjuang untuk rakyat dan negara akan menyertai PRM. PRM akan bertanding dalam PRU akan datang. PRM akan menjadi parti pemerintah.


No comments: